CHERITA BLOGKU

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.

Hakikat manusia sebagai makhluk



Kita perlu mengenal manusia tidak dari segi kelebihannya sahaja, tetapi juga perlu mengenal kelemahannya supaya dapat memberi kesedaran dalam setiap tindakan dan perbuatan. Kelemahan ini perlu diwaspadai oleh manusia agar dapat mengawal diri dan mengatasi kelemahan diri dengan cara mengamalkan ajaran Islam.

Manusia sebagai makhluk
Fokus kepada tajuk hakikat insan kali ini ialah hakikat manusia sebagai makhluk yang lemah. Allah menciptakan manusia dengan segala keterbatasan dan kelemahan di samping kelebihan dan kekuatannya.

Manusia diciptakan oleh Allah berdasarkan fitrahnya. Manusia yang dapat memelihara fitrahnya dengan Islam akan berjaya di dunia dan di akhirat. Sedangkan mereka yang tidak dapat memerlihara fitrah tersebut serta tidak menjalankan amanah tersebut akan termasuk ke dalam golongan yang bodoh (jahil).
Antara sifat manusia sebagai makhluk ialah;
  • Berada dalam fitrah
  • Lemah
  • Bodoh
  • Faqir (memerlukan)

Berada dalam fitrah
Semua manusia lahir dalam keadan fitrah tanpa terkecuali. Potensi fitrah ini membawa manusia dapat menilai setiap sesuatu dengan cenderung kepada kebaikan dan menolak kejahatan. Manusia dengan fitrahnya akan mengatakan bahawa berbohong, mencuri, pembunuhan, korupsi, khianat dan penindasan adalah perbuatan yang tidak baik. Sebaliknya jujur, saling membantu, berkasih sayang, amanah dan adil adalah perbuatan yang baik.
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah, itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidakmengetahui.” (ar-Rum: 30)

Manusia bersifat lemah
Sebagai makhluk, manusia juga lemah kerana diciptakan dengan keterbatasan akal dan fizikal. Manusia tidak mungkin mampu menembusi semua alm ini dengan akalnya, begitu pula fizikal manusia jika dibandingkan dengan alam adalah sangat kecil dan lemah. Manusia sangat kecil dan lemah di hadapan Allah sehingga memerlukan bantuan dan perlindungan daripada Allah swt.
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-Nisa’: 28 )

Manusia pada asalnya tidak mengetahui
Amanah dan beban sebagai khalifah adalah sangat besar dan berat sehingga ditolak oleh makhluk lain seperti langit, bumi dan gunung. Tindakan memilih tugasan ini adalah zalim dan bodoh. Namun manusia akan terlepas daripada kezaliman dan kebodohan jika menjalankan amanah dan taklifan tersebut berdasarkan ilmu yang sahih seperti yang dianjurkan oleh Allah swt.
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dna gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh.” (al-Ahzab: 72)

Manusia sentiasa butuh dan memerlukan
Manusia sebagai makhluk yang terbatas dari segi fizikal dan kemampuan dalam pelbagai aspek, oleh itu manusia sangat memerlukan bantuan daripada yang lebih berkuasa dan hebat iaitu daripada pencipta makhluk, Allah swt.
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak (berkemahuan) kepada Allah; dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.” (Fathir: 15)

0 comments: